| INSTITUT TEKNOLOGI MAJU

Sambutan Hari Raya Aidilfitri ITMA 2017

21 Julai 2017- Institut Teknologi Maju (ITMA) telah menganjurkn Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis sambutan ini telah dianjur bersama Kelab Kebajikan dan Sosial ITMA. Majlis ini juga telah berlangsung dengan meriahnya kerana melibatkan semua staf, penyelidik bersekutu dan juga pelajar ITMA. Sebelum majlis berlangsung pihak kelab  juga telah menjalankan aktiviti gotong royong bagi memasak rendang, lemang dan juga nasi himpit pada hari  Khamis 20 Julai 2017 hari sebelum majlis berlagsung.

Semua staf dan pelajar turut menghulurkan bantuan dan bertungkus-lumus membuat persiapan pada hari tersebut di samping mengeratkan ukhuwah dan memecahkan jurang sesama warga ITMA. Tanpa bantuan mereka, pastinya program ini tidak mampu dijayakan dengan sebaiknya. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Kelainan tahun ini adalah kerana pelbagai juadah istimewa hari raya telah ditaja mengikut pejabat dan juga laboratori. Kelab telah menaja menu utama iaitu lemang, rendang, nasi himpit dan juga sate. Manakala Pejabat Am menaja Roti Jala, Hot Roll dan juga kuih-muih. Laboratori MSCL menaja keropok lekor goreng dan nasi dagang, Laboratori FDL menaja air jagung dan Cendol, Bihun Sup dan juga minuman panas serta Laboratori Analisis menaja buah-buahan asam boi, Jeli kelapa dan Tapai. Terima kasih tak terhingga juga kepada hamba Allah yang telah menaja Kambing golek yang menambahkan lagi kemeriahan sambutan raya ITMA.

Majlis sambutan hari raya bermula seawal 10.00 pagi dengan kehadiran para hadirin yang memakai baju berwarna-warni memeriahkan suasana. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Timbalan Pengarah sambil mengalu-alukan kehadiran hadirin ke majlis tersebut, ditambah dengan ucapan daripada Pengerusi kelab Kebajikan dan Sosial ITMA dan diteruskan dengan sambutan hari raya dengan menjamu selera. Sambutan majlis turut diserikan dengan kehadiran semua penyelidik bersekutu, pelajar, Seksyen Kewangan Kejuruteraan dan juga Unit ICT Fakulti Kejuruteraan.

Diharapkan majlis sambutan seumpama ini dapat dianjurkan pada tahun-tahun akan datang.

Berita Lain...

SXETDAr~